KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket dadah bernilai lebih RM31 juta selepas menahan dua lelaki tempatan dalam operasi khas pada 9 April lalu.
Kedua-dua suspek yang berusia 31 dan 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Selangor dan ibu negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan pertama di hadapan sebuah bengkel di Bandar Kinrara, Puchong, pihaknya berjaya menahan suspek yang dipercayai berperanan sebagai transporter.
“Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Audi yang digunakan sebagai tempat penyimpanan dadah menemukan 200 bungkusan disyaki methamphetamine seberat 212 kilogram.
“Susulan itu, serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat di Cheras membawa kepada penahanan suspek kedua yang berperanan sebagai penjaga stor,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut menemukan 389 bungkusan methamphetamine (404.12 kilogram), 1,975 kepingan aluminium foil mengandungi pil Erimin 5 seberat 6.4 kilogram serta 400 kartrij vape berisi cecair disyaki fentanyl sebanyak 0.8 liter.
Secara keseluruhan, ujarnya, polis merampas 616.12 kilogram methamphetamine, 6.4 kilogram pil Erimin 5 dan 0.8 liter cecair fentanyl dengan nilai dianggarkan RM31.57 juta.
“Siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak awal tahun ini dengan modus operandi unik, iaitu pembekal meninggalkan kenderaan berisi dadah bersama kunci di lokasi tertentu sebelum diambil pelanggan untuk disimpan di stor, dan dipulangkan semula selepas urusan selesai.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Rampasan dadah itu berpotensi menjejaskan kira-kira 3.12 juta pengguna,” jelasnya.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Jelasnya, kedua-dua suspek kini direman masing-masing selama 13 hari hingga 22 April dan 11 hari hingga 19 April bagi siasatan lanjut.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengambil tindakan pelucuthakan harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan sitaan bernilai kira-kira RM432,000, termasuk tiga kenderaan serta wang tunai RM15,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan mencecah sekitar RM32 juta. – MalaysiaGazette
















