Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap sebuah syarikat atas kesalahan gagal melaporkan kemalangan di tempat kerja dalam tempoh yang ditetapkan, awal tahun ini.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman tersebut selepas pengarah syarikat terbabit mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ridzuan Mad Hashim dan Ts Amiruddin Mohd Tajudin.

JKKP Johor dalam satu kenyataan memberitahu, syarikat tersebut gagal melaporkan kemalangan jari pekerja tersepit yang menyebabkannya tidak boleh hadir kerja melebihi empat hari.

Menurut kenyataan itu, syarikat yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Kota Putri di sini melakukan kesalahan tersebut pada Januari lalu.

“Syarikat tersebut didapati telah gagal menghantar laporan mengenai kemalangan yang berlaku berbangkit daripada atau berkaitan dengan kerja dalam tempoh tujuh hari.

“Kesalahan telah didakwa di bawah Peraturan 5 (2), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004, di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” maklum kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan JKKP Johor memandang serius kegagalan majikan dalam mematuhi prosedur pelaporan kemalangan.

Tambahnl JKPP, tindakan perundangan yang tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa terpelihara.

“Pemberitahuan segera melalui borang JKKP 6 adalah kritikal bagi membolehkan jabatan menjalankan siasatan punca kemalangan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.

“Pihak jabatan ingin menegaskan kepada semua majikan bahawa adalah menjadi kewajipan undang-undang untuk melaporkan sebarang kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast