Tuanku Muhriz (dua dari kiri) berkenan menyempurnakan majlis perasmian 1st Regional Conference on Precision Health (RCPH) 2026. Turut mengiringi baginda, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Datuk Johan Idris (kiri), Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh (dua dari kanan) dan Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal (kanan).

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan Malaysian Pangenome iaitu satu sumber rujukan genomik kebangsaan yang mewakili kepelbagaian genetik populasi Malaysia bersempena 1st Regional Conference on Precision Health (RCPH) 2026.

Malaysian Pangenome menggabungkan data genom dari lebih 4,000 individu mewakili 56 kumpulan etnik dan sub etnik negara ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur RCPH, Prof. Datuk Dr. A Rahman A Jamal, ia akan menyokong pembangunan diagnostik generasi baharu, strategi pencegahan yang lebih tepat, serta terapi yang lebih relevan untuk rakyat Malaysia.

“Setiap individu mempunyai genom yang unik, dengan perbezaan sekitar 0.1 peratus yang menentukan ciri fizikal serta risiko terhadap penyakit. Dengan menghimpunkan data daripada pelbagai kumpulan etnik, pangenom ini mampu memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai variasi genetik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pembangunan pangenom ini dijangka menyokong pelaksanaan perubatan jitu iaitu rawatan yang disesuaikan mengikut profil genetik, gaya hidup dan persekitaran individu. Melalui pendekatan ini, rawatan dapat diberikan dengan lebih tepat sekali gus meningkatkan keberkesanannya,” katanya.

Selain kepentingannya di peringkat negara, Malaysian Pangenome juga membantu merapatkan jurang data genomik global, khususnya bagi populasi Asia Tenggara yang masih kurang diwakili dalam pangkalan data antarabangsa, jelas Dr. A Rahman.

Menurutnya, Malaysia dilihat mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang ini berikutan kepelbagaian genetik yang
luas serta potensi untuk menyumbang kepada penyelidikan genom di peringkat serantau dan global.

Justeru, bagi komuniti penyelidik, akses kepada pangkalan data ini akan disediakan melalui dasar tertentu bagi
menyokong kajian berkaitan genom.

“Namun, analisis data genom memerlukan kepakaran tinggi kerana setiap genom mengandungi kira-kira tiga bilion kod genetik yang perlu ditafsir menggunakan teknologi dan perisian khusus,” kata beliau.

Inisitif ini merupakan kerjasama nasional yang melibatkan MyGenome yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sementara itu, RCPH yang dianjurkan sebagai platform serantau bagi pertukaran ilmu, teknologi dan amalan terbaik dalam bidang perubatan jitu berasaskan data genomik dan pelbagai data multi-omik menghimpunkan kira-kira 300 peserta dari negara ASEAN dan rantau Asia-Pasifik.

Dr. A Rahman berkata, perubatan jitu mengubah pendekatan rawatan yang bersifat ‘one-size-fits-all’ kepada pendekatan yang lebih tepat, bersasar dan berasaskan data.

“Malaysia mempunyai kepelbagaian unik dan kini berdepan cabaran kesihatan yang semakin meningkat, khususnya penyakit tidak berjangkit, penyakit berjangkit dan kanser.

“Perubatan jitu menawarkan satu kaedah yang berpotensi untuk memperkukuh strategi pencegahan, meningkatkan ketepatan diagnosis, menambah baik keberkesanan rawatan, mengurangkan kesan sampingan ubat, dan seterusnya menghasilkan hasil kesihatan yang lebih baik bagi individu serta populasi,” katanya.

Perasmian RCPH 2026 disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang juga Canselor UKM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast