Jangan sampai ada pembelian panik.- Gambar hiasan.

KEMELUT di Asia Barat kini semakin merebak. Apa pun ia memberi kesan sama ada disedari atau tidak kepada rakyat Malaysia.

Apa yang berlaku di Asia Barat itu sepatutnya sudah boleh dijangka serta kesannya untuk negara. Apa yang berlaku di Asia Barat itu seharusnya dinilai bahawa ia bakal merebak berikutan tiada penyelesaian mutlak.

Kini dengan merebaknya kemelut tersebut, kesan bertambah dirasai oleh rakyat Malaysia berikutan kenaikan mendadak harga bahan api dan makanan keperluan harian.

Memang diakui sebelum ini pun bahawa harga barangan termasuk makanan sentiasa naik dari semasa ke semasa dan seharusnya ini diakui sebagai satu hakikat.

Yang pasti kini rakyat mahu tahu apa perancangan kerajaan supaya beban yang ditanggung rakyat tidak bertambah. Kelak inflasi akan meningkat.

Jika kita merujuk jauh dan berpandangan lagi ke hadapan, kelak ada rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Sehubungan itu, kerajaan harus mengambil pendirian pantas untuk menyelesaikan masalah rakyat berbanding hanya mengimbangi keadaan dengan mengikuti trend ‘kenaikan mendadak’.

Subsidi diesel harus diperkenalkan semula supaya kenaikan harga harga barang boleh dikawal. Rakyat sudah mula resah kerana sedang melalui tekanan atas kos sara hidup.

Hakikatnya, kos sara hidup berganda, tekanan tersebut menyebabkan rakyat hidup dalam situasi yang tidak stabil.

Suara-suara rakyat yang merintih mendakwa kerajaan hanya menceritakan kesan dari kemelut tersebut tetapi tiada penyelesaian. Rakyat terus mengharap insentif atau pakej yang akan membantu mereka.

Dalam pada itu, banyak industri terkesan secara langsung dengan kenaikan kos bahan api dan barangan.

Antara industri yang terkesan termasuk perubatan, pelancongan, logistik dan pembinaan dengan cabaran yang dihadapi berikutan kenaikan kos serta-merta dan kekurangan bahan mentah.

Cadangan pada kerajaan, laksanakan segera monetarium sekurang-kurangnya enam bulan supaya industri dan rakyat boleh menyusun semula komitment mereka.

Subsidi bahan api dan makanan perlu diwujudkan serta-merta. Mencari alternatif serta kaedah bagi mengurangkan beban hidup rakyat.

Tindakan pantas perlu dibuat kerana yang terkini pengusaha bas pelancongan dan bas kilang mengambil keputusan bersetuju menaikkan harga tambah berikutan melambungnya kos diesel.

Langkah yang sama juga diambil oleh pengusaha feri yang terkesan dengan kenaikan harga diesel.

Jika perkembangan ini berterusan, jangan terkejut tindakan yang sama juga diambil oleh pengusaha bas sekolah.

Banyak lagi perniagaan dan kesan yang bakal dirasai oleh sektor-sektor lain. Oleh itu kerajaan haruslah bertindak segera dengan mengutamakan kebajikan dan keperluan rakyat.

Datuk Dr Zulkifli Abd Aziz
Pengerusi Persatuan Profesional Dialisis Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast