KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyeru kerajaan menilai semula keperluan menahan seorang pengguna TikTok, yang didakwa memuat naik sebuah video yang mengandungi kenyataan terhadap Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan hari ini, SUHAKAM turut menyeru kerajaan menilai semula kes-kes serupa yang melibatkan aktiviti menyuarakan pandangan tanpa keganasan.
Terdahulu, SUHAKAM menzahirkan kebimbangan berhubung penangkapan dan perintah reman terhadap pengguna TikTok dalam isu berkenaan.
Tegasnya, kebebasan bersuara adalah kebebasan asasi yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan ia amat penting dalam membina sebuah masyarakat demokratik.
Menurutnya, hak itu merangkumi kebebasan untuk menyuarakan perbezaan pandangan, kritikan, serta pendapat mengenai perkara berkepentingan awam, termasuk yang melibatkan pegawai awam dan kepimpinan kerajaan.
“Dalam konteks ini, SUHAKAM menekankan bahawa penangkapan dan penahanan reman terhadap seseorang individu bagi menyuarakan pandangan, yang tidak melibatkan keganasan adalah suatu langkah yang tidak wajar dan salah di sisi undang-undang.
“Penggunaan sekatan jenayah dalam keadaan sedemikian menimbulkan kebimbangan serius mengenai kawalan ruang sivik serta berisiko mewujudkan kesan yang menakutkan terhadap pelaksanaan kebebasan bersuara di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, SUHAKAM khuatir terhadap penggunaan berterusan peruntukan yang tidak jelas di bawah undangundang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233) serta Akta Hasutan 1948.
Menurutnya, peruntukan itu telah lama dikritik kerana skopnya yang terlalu umum dan cenderung untuk tafsiran yang tidak konsisten, sehingga boleh mengakibatkan sekatan tidak wajar, termasuk kritikan terhadap penjawat awam.
Ujarnya, meskipun SUHAKAM mengiktiraf kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada sekatan tertentu, piawaian hak asasi manusia antarabangsa jelas menetapkan sekatan tersebut mesti memenuhi syarat yang ketat, iaitu dari segi kesahan undang-undang, keperluan, dan perlu berkadaran.
“Ini bermaksud, sekatan hanya boleh dibuat untuk tujuan yang sah dan merupakan langkah paling minimum.
“Penangkapan dan penahanan sepatutnya menjadi langkah terakhir, bukannya tindakan utama terhadap kesalahan berkaitan menyuarakan pandangan,” katanya.
Sehubungan itu, SUHAKAM turut menyeru kerajaan lebih teliti dalam penggunaan undang-undang jenayah terhadap individu yang menyuarakan pandangan secara dalam talian.
Selain itu, katanya, kerajaan diseru melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan, dengan tujuan menyelaraskannya dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa berkaitan kebebasan bersuara.
Dalam masa sama, ujarnya, memastikan semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan pematuhan penuh terhadap jaminan proses yang adil, termasuk ketelusan, akauntabiliti, dan akses kepada wakil guaman.
“Insiden ini menunjukkan keperluan mendesak untuk menilai semula pendekatan Malaysia dalam mengawal selia ekspresi dalam talian berasaskan hak asasi, iaitu dengan melindungi individu daripada kemudaratan tanpa menyekat perbezaan pandangan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















