Foto IG TV3.

KUALA LUMPUR – Tiga nama besar Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Marsha Milan berjaya menempatkan diri di pentas akhir edisi ke-40 acara berprestij itu bersama tujuh finalis lain.

Pemenang AJL-31 melalui lagu Lelaki Teragung, Dayang Nurfaizah mempertaruhkan lagu Lemah ciptaan dan lirik Hael Husaini.

Aina Abdul yang pernah mengungguli AJL-37 melalui lagu Terus Hidup membawa single ciptaan sendiri, Kamu.

Marsha pula yang meraih trofi utama AJL-39 dengan lagu Hening Rindu mempertaruhkan Tangisan Seorang Pendosa, ciptaannya sendiri dan lirik dihasilkan Hazama.

Sementara itu, selepas kira-kira sedekad menanti, Wani Kayrie akhirnya melayakkan diri ke pentas akhir AJL-40 menerusi lagu Cak Cak Cekuk ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh.

10 lagu terbaik akan berentap di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40.

Selain itu, lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I juga julung kali mara ke pentas AJL-40.

Dicipta Zai Hamzah dan Hemo Globin dengan lirik hasil sentuhan Achoi Floor 88 bersama Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam, lagu itu tampil dengan kekuatan tersendiri.

Lagu lain yang diumumkan layak ke AJL-40 adalah Nurcinta nyanyian Amir Masdi yang dihasilkan sepenuhnya bersama Edry Abd Halim.

Turut tersenarai adalah lagu Tak Adil nyanyian Aisha Retno, ciptaan bersama Radi dan lirik Aisha serta Semacam Pandora oleh Hazama (ciptaan Hazama, Zimi, Genervie Kam dan Ritz Metalasia/lirik Zel Hadauan).

Melengkapkan senarai adalah lagu Ke Mana Ni oleh Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik (ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta/lirik gabungan mereka) serta Lumangad Oku Dika nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Ryenald Guntabid.

Barisan juri diketuai oleh Datuk Acis dengan LY, Ad Samad, Siti Hajar dan Efry Arwis yang turut memegang peranan sebagai juri.

AJL-40 SA dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Sissy Iman manakala Tuju dan Kaka Azraff tampil menerusi persembahan interlud, pada episod malam tadi.

Sidang produksi AJL-40 diketuai Russell Mark Rodrigues sebagai pengurus projek, Jamil Hassan sebagai penerbit eksekutif dan Mohd Jamira Ramli sebagai penerbit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast