Foto: FB KTM Berhad

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Kargo KTMB mencatat satu lagi detik penting kelmarin, apabila berjaya melaksanakan larian sulung tren kargo dari Tapah ke PGU (Pasir Gudang) – Line 4.

Perkhidmatan itu direalisasikan bersama rakan strategik, Infinity Logistics, dengan pengoperasian satu set penuh 40 gerabak yang membawa 80 kontena bersaiz 20 kaki (80 TEU), berjumlah 1,738 tan metrik.

Tren itu tiba dengan selamat di PGU pukul 8.15 pagi semalam, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan operasi serta kebolehpercayaan koridor rel baharu tersebut.

Foto: FB KTM Berhad

Menurut KTMB, untuk permulaan, perkhidmatan kargo itu akan beroperasi secara berkala setiap dua minggu, dengan dua pergerakan tren setiap bulan.

Katanya, ia menawarkan pilihan logistik yang lebih tersusun, efisien dan diyakini untuk menyokong keperluan rantaian bekalan domestik.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen KTMB dalam memperkukuh kapasiti kargo rel negara, di samping mempererat kerjasama bersama pemain industri bagi menyediakan penyelesaian logistik yang selamat, cekap dan mampan.

“Malah, usaha ini turut menyokong aspirasi kerajaan melalui inisiatif “From Road to Rail” dalam mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan jalan raya serta meningkatkan daya tahan sistem logistik negara,” katanya menerusi laman Facebook KTM Berhad hari ini.

Tambahnya, dengan pelaksanaan larian perkhidmatan tren kargo itu, dianggarkan sehingga 320 kenderaan berat sebulan dapat dikurangkan di atas jalan raya, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik, meningkatkan keselamatan, menurunkan pelepasan karbon serta memelihara alam sekitar.

“KTMB akan terus memainkan peranan sebagai pengendali rel negara dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan, melalui penyelesaian kargo rel yang boleh dipercayai serta kerjasama berterusan bersama rakan industry,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast