MELAKA – Polis sudah menyerahkan permohonan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) bagi merakam percakapan suspek yang terlibat dalam penyebaran kandungan kandungan kecerdasan buatan (AI) kerana mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pihaknya kini sedang menunggu perkembangan lanjut daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Kertas siasatan telah di hantar ke pejabat TPR untuk mohon OTI. Suspek kes juga telah dikenal pasti.
“Kita akan panggil individu yang membuat hantaran itu setelah dapat kebenaran OTI berkenaan untuk dirakam percakapan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Pada 16 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung penularan satu video kandungan AI dimuat naik pemilik akaun TikTok dikenali Najie @atynjiehah kerana mencemarkan imej PDRM.
Laporan dibuat pengadu yang juga merupakan pegawai polis di Balai Polis Merlimau mengenai video berkenaan yang memaparkan seorang wanita diiringi dua anggota polis lelaki di hadapan sebuah bangunan tertera tulisan Balai Polis Merlimau.
Siasatan dicadang dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian seperti menyebarkan kandungan lucah, palsu, mengancam atau jelik.
Robert berkata, ia juga boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan fitnah jenayah, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















