KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China didakwa menjadi mangsa ‘penjamin’ hutang judi bernilai RM100,000 diselamatkan di sebuah unit Airbnb, Sunway Velocity di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa berusia 36 tahun yang dikurung selama tiga hari itu berjaya dibawa keluar sekitar pukul 9 malam.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dijadikan ‘penjamin’ kepada rakannya yang berhutang judi sebanyak RM100,000 dan bertindak melarikan diri.
“Mangsa telahdikurung selama tiga hari oleh suspek sebagai desakan untuk melunaskan hutang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Rosdi, dua lelaki tempatan berusia 30-an telah ditahan di tempat kejadian dan merampas serangkai kunci rumah, kad akses serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek telah direman selama tiga hari dan usaha mengesan dalang utama yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















