KUALA LUMPUR – Blok ASEAN perlu memberi penekanan kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang bersifat prososial sejak peringkat reka bentuk dengan memastikan sistem dibina berasaskan prinsip keadilan, keterangkuman, ketelusan serta bertanggungjawab kepada komuniti.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pendekatan itu perlu disokong dengan pelaksanaan audit oleh badan bebas bagi memastikan penggunaan teknologi berkenaan tidak menyimpang daripada kepentingan masyarakat.
Menurut baginda, langkah tersebut bukan bertujuan menyekat inovasi, sebaliknya menjadi asas penting untuk memastikan inovasi yang dibangunkan mendapat kepercayaan dan legitimasi awam.
“Persoalannya bukan sama ada ASEAN akan menggunakan AI kerana ia sudah digunakan secara meluas, tetapi sama ada rantau ini akan menjadi peneraju dalam membentuk penggunaannya atau sekadar menjadi pengguna kepada teknologi yang dibangunkan pihak luar,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Ucaptama Diraja sempena Forum Putrajaya ke-8 yang dianjurkan bersama Defence Services Asia 2026 dan National Security Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia hari ini.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap model pembangunan AI global ketika ini yang dilihat tertumpu dalam tangan segelintir syarikat besar dan negara berkuasa, sekali gus memberi penekanan kepada skala, kelajuan serta penguasaan pasaran.
Titah baginda, aspek seperti perpaduan sosial, kepelbagaian budaya dan kesejahteraan jangka panjang komuniti sering diketepikan, walaupun data masyarakat digunakan untuk melatih sistem tersebut.
“Bagi ASEAN, ini bukan sekadar kebimbangan teoritikal, tetapi realiti memandangkan kepelbagaian luar biasa rantau ini dari segi bahasa, agama, budaya dan sistem pemerintahan.
“Algoritma yang tidak memahami kita dengan tepat tidak akan memberi manfaat malah berpotensi memudaratkan,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda menegaskan, keperluan mendesak untuk ASEAN membangunkan AI prososial yang boleh diaudit, telus dan inklusif sebagai syarat penting bagi memastikan teknologi tersebut benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat serta memperkukuh legitimasi inovasi. – MalaysiaGazette
















