Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menunjukkan buku laporan MARA semasa sidang media Tahunan MARA di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 dijangka akan dibentang di Parlimen Jun ini bagi menambah baik aspek tadbir urus agensi pemerkasaan Bumiputera itu.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, draf pindaan akta itu sudah siap dan kini dalam peringkat sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh.

“Draf sudah siap, kita dalam proses siri-siri libat urus seluruh Malaysia untuk mendapatkan maklum balas daripada pemegang-pemegang taruh MARA.

“Sebelum akhirnya ia dibentangkan di peringkat atas (KKDW),” katanya ketika Sidang Media Tahunan MARA.

Menurutnya, pindaan tersebut penting memandangkan akta sedia ada yang digubal sejak 1966 sudah tidak lagi relevan dengan keperluan tadbir urus moden.

Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, antara fokus utama pindaan itu adalah memperkukuh aspek tadbir urus bagi mengelakkan ketirisan, pembaziran serta salah guna kuasa.

“Ini termasuk memastikan tiada konflik kepentingan dalam pelantikan atau penglibatan ahli lembaga dalam jawatankuasa tertentu seperti pelaburan dan audit.

“Ada kes sebelum ini yang mungkin sah dari sudut undang-undang, tetapi tidak wajar dari sudut moral dan tadbir urus,” katanya pada Sidang Media Tahunan MARA di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, proses libat urus kini membabitkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta Jabatan Perdana Menteri, di samping diperluas ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas lebih menyeluruh daripada pemegang taruh.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast