KUALA LUMPUR – Sistem pendaftaran keahlian secara atas talian (online) UMNO yang baru dimuat naik dilihat menggalakkan apabila dta terkini menunjukkan seramai 3,716 ahli baharu mendaftar dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berdasarkan data yang dikongsi, golongan pemuda kini mendominasi statistik pendaftaran ahli baharu parti itu apabila mencatatkan penyertaan seramai 2,413 orang iaitu 65 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ia diikuti kategori ahli biasa yang mencatatkan seramai 818 orang atau 22 peratus, sayap wanita (248 orang) manakala sayap Puteri mencatatkan penyertaan seramai 237 orang bersamaan 6 peratus daripada jumlah pendaftaran tersebut.
“Balik dari masjid pagi ini, check sistem dashboard keahlian UMNO, terus saya ambil masa untuk perhalusi dan luluskan setiap permohonan.
“Letih juga tapi menyeronokkan dan mengujakan kerana tak sampai 24 jam sistem baru pendaftaran online dimuat naik, sudah 3,716 ahli baharu yang majoritinya di kalangan anak muda mendaftar,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut menzahirkan penghargaan kepada semua individu yang memilih untuk mendaftar sebagai ahli baharu.
“Terima kasih semua kerana sudi bersama dalam perjuangan suci ini,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette
















