KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyangkal pandangan bahawa rakyat akan menolak gabungan parti itu sekiranya masalah dalaman tidak dapat diselesaikan.
Pengerusi PN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pandangan yang diutarakan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau itu hanyalah satu pendapat peribadi.sekutuan.
“Itu pandangan peribadi beliau, yang pentingnya kita ingin bergerak ke hadapan dan tentunya kita perlu menyelesaikan apa jua ketidakfahaman ataupun salah faham yang wujud dalam Perikatan Nasional.
“Biasalah dalam keluarga ini, adik-beradik pun kadang-kala ada salah faham dan sebagainya.
“Saya rasa itu perkara kecil yang boleh kita perbetulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Kuala Terengganu, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai ‘keretakan’ yang berlaku di dalam PN seperti didakwa pihak tertentu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, salah faham yang timbul adalah lumrah dalam mana-mana organisasi politik.
Katanya, sebarang isu yang berlaku di dalam PN sedang diuruskan dengan baik dan gabungan itu bermatlamat untuk menjadi alternatif sebenar untuk menggantikan kerajaan yang ada di peringkat Persekutuan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Naib Presiden Pas ini juga turut memaklumkan jentera PN kini sudah pun dalam mod bersiap siaga sepenuhnya bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka bakal berlangsung lebih awal.
Katanya, meskipun penggal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hanya akan berakhir pada 27 Disember 2026, beliau menjangkakan kemungkinan pilihan raya negeri itu berkemungkinan besar diadakan sebelum Oktober tahun ini.
Tambah beliau, PN akan mengadakan mengadakan konvensyen sebagai persediaan menghadapi pilihan raya terutama di Melaka, minggu depan. -MalaysiaGazette
















