KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang lagi suspek kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kerja-kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM500,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah.
“Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan seorang penjawat awam dan juga pengarah syarikat sebuah syarikat kontraktor disyaki bersubahat dengan seorang suspek lelaki iaitu pengarah syarikat sebuah syarikat pembinaan yang sebelum ini telah ditahan pada Isnin.
“Suspek ditahan berkaitan kes yang sama iaitu mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini berjumlah kira-kira RM500,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM Sabah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kerja pembersihan bernilai kira-kira RM1.3 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2024.
“Suspek disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini untuk tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027.
“Selain itu, suspek turut dipercayai menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi sama bagi mendapatkan kontrak kerja di beberapa agensi kerajaan sekitar Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette
















