Anggota polis membawa pemilik dan pengurus taska bagi mendengar pertuduhan dengan cuai membahayakan nyawa kanak-kanak di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 22 APRIL 2026.

SHAH ALAM – Seorang pengurus sebuah taska didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan cuai sehingga membahayakan nyawa seorang kanak-kanak yang terkurung di sebuah bilik pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Nurrul Farhana Ramlee, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan cuai membahayakan nyawa kanak-kanak yang terkurung di dalam sebuah bilik taska di Shah Alam pada 6 Oktober 2025 sekitar jam 4.32 petang.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 336 Akta Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga tiga bulan atau denda RM500, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nurrul Farhana turut didakwa secara bersama dengan pengasas taska, Datin Nor Fadilah Alias, 36, kerana menjalankan operasi sebuah taska tanpa perakuan berdaftar yang sah daripada Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Shah Alam pada 21 Januari lalu sekitar jam 3.54 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah akta yang sama.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan tidak mendaftarkan sebuah taska di dalam daerah Petaling sekitar jam 12.30 tengah hari pada 19 Januari 2026.

Bagi kesemua kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6(2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar yang turut mencadangkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi.

Peguam, Anwar Ezzad Zainal bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan RM2,000 kepada dua anak guamnya bagi setiap pertuduhan kerana jaminan ditawarkan adalah tinggi dan bukan sebagai satu bentuk hukuman.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan terhadap bagi setiap pertuduhan sebanyak RM3,000 dan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh selain menetapkans sebutan semula kes pada 25 Mei depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast