Kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 407.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, awal pagi Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta membantu siasatan kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 407.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, awal pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 2.25 pagi.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku kira-kira jam 2 pagi apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki tempatan berusia 21 tahun hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan.

“Kenderaan itu kemudian melanggar bahagian kiri sebuah lori jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah Bukit Beruntung menghala ke Tapah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, akibat pelanggaran itu, pemandu yang juga merupakan seorang peniaga tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa mkemudian telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast