Jalex Lee selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan AMK Tebrau di Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tebrau sebulat suara untuk meletak calon mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan dalam tahun ini.

Ketuanya, Jalex Lee En Xiang berkata, ketetapan tersebut yang dibuat dalam mesyuarat pada Ahad lalu adalah berasaskan beberapa pertimbangan strategik dan realiti semasa.

“Ini termasuk kekuatan jentera AMK yang terbukti tersusun, berdaya gerak serta telah lama melakukan persiapan rapi di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu katanya, komposisi demografi DUN Puteri Wangsa yang mempunyai ramai pengundi muda menjadikan pencalonan wakil daripada AMK sebagai langkah yang paling relevan dan tepat.

Jelasnya, pendekatan itu dilihat selari dengan aspirasi untuk memperkukuh representasi generasi muda serta memanfaatkan kecenderungan pola pengundian yang semakin berpihak kepada kepimpinan muda.

“Berdasarkan faktor-faktor ini, AMK mempunyai keupayaan signifikan untuk meningkatkan kebolehmenangan parti di DUN Puteri Wangsa,” ujar Exco AMK Pusat itu.

Sabtu lalu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat dilaporkan berkata, parti mana yang akan bertanding di DUN Puteri Wangsa dan Kota Iskandar pada PRN Johor akan diputuskan selepas perbincangan dibuat.

Suhaizan berkata, setiap kali menjelang pilihan raya perkara itu akan dibincangkan untuk menentukan parti mana yang layak bertanding di dua kerusi berkenaan.

“Ini perkara normal setiap kali pilihan raya nanti untuk membincangkan perkara ini,” katanya mengulas ura-ura PKR mahu bertanding di dua kerusi berkenaan pada PRN akan datang.

Sebelum ini kerusi DUN Puteri Wangsa dimenangi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Sementara DUN Kota Iskandar ditandingi Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr Dzulkefly Ahmad namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Pandak Ahmad.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast