KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merehatkan serta-merta individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengurusan dana zakat.
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, langkah merehatkan mereka daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi itu diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan.
Ujarnya, IKRAM mengambil maklum laporan berhubung penahanan SPRM terhadap tiga individu di Hulu Selangor yang disyaki terlibat dalam siasatan berkaitan pengurusan dana zakat.
Kata beliau, IKRAM memandang serius perkara tersebut dan menegaskan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.
Sehubungan itu, tambahnya, IKRAM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan SPRM.
“Sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi,” ujarnya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.

Semalam, SPRM menahan tiga individu termasuk seorang pemimpin kanan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta antara 2018 hingga 2024.
Media melaporkan, SPRM menyita 18 kenderaan mewah, termasuk Porsche dan Mercedes, rumah dan hartanah bernilai kira-kira RM11 juta, serta pelbagai harta alih meliputi wang dan jam tangan mewah.
Badlishah selanjutnya menjelaskan, tindakan merehatkan individu tersebut bagaimanapun tidak melibatkan organisasi secara langsung.
Ujarnya, selaras dengan perlembagaan IKRAM, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara.
“IKRAM akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini.
“Segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
“IKRAM menghargai keprihatinan semua pihak dan memohon agar ruang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sewajarnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















