Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melakukan sesi Jom Baca Bersama selama 10 minit bersama pelajar sekolah ketika pada majlis pelancaran Kota Baca 2026 sempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 ketika di Perpustakaan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Usaha membudayakan amalan membaca dalam kalangan generasi muda perlu bermula dari rumah, dengan ibu bapa memainkan peranan sebagai contoh utama kepada anak-anak.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pembentukan ekosistem membaca perlu dipupuk sejak awal dalam institusi keluarga.

Menurutnya, anak-anak cenderung mencontohi tingkah laku ibu bapa termasuk tabiat membaca, sekali gus menjadikan rumah sebagai asas penting dalam membina budaya ilmu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap kepada media selepas hadir pada majlis pelancaran Kota Baca 2026 sempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 ketika di Perpustakaan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2026.

“Anak-anak melihat apa yang kita baca dan mereka akan percaya dan yakin bahawa ekosistem itu wujud dari rumah dan ia mesti diteruskan dalam masyarakat.

“Jadi apabila mereka melihat dalam rumah itu sendiri sudah ada bahan bacaan, buku, perpustakaan kecil, jadi saya sangat percaya budaya itu boleh terus diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya komited memperkukuh budaya membaca melalui pelbagai inisiatif termasuk penguasaan pelbagai bahasa dan peningkatan literasi dalam kalangan pelajar.

Katanya, selain menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, murid juga digalakkan mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil bagi memperluas keupayaan komunikasi serta akses kepada pelbagai bahan bacaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast