Ibu bapa Allahyarham Muhammad Luqman Kamil ketika ditemui di Felda Lepar Hilir 3, di sini hari ini.

KUANTAN – “Sebagai orang Islam, makcik tahu tak boleh meraung dan meratap. Tapi makcik hanya manusia biasa. Sebagai seorang ibu, makcik rindu sangat.”

Begitu luahan sayu ibu kepada Allahyarham Muhammad Luqman Kamil Jamaluddin, 16, remaja yang dilaporkan lemas di Pantai Balok, di sini ketika mencari kepah bersama enam rakannya pada 17 April lepas.

Siti Roslina Misban, 56, yang bekerja sebagai seorang guru KAFA di Felda Lepar Hilir 3, di sini bagaimanapun mengakui reda dengan pemergian anak bongsu tercintanya itu.

Siti Roslina Misban tidak mampu menahan sebak teringat anak tercinta.

Namun, dia dan suami, Jamaluddin Wahudin, 57, mengakui masih tertanya-tanya mengenai kejadian sebenar menimpa anaknya itu pada hari kejadian.

“Sehingga ke hari ini, kami sekeluarga masih menanti penjelasan secara rasmi daripada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

“Saya jadi keliru kerana saya tidak ada menandatangani apa-apa surat kebenaran keluar asrama bagi anak saya itu untuk sebarang aktiviti riadah di pantai itu pada hari tersebut.

“Muhammad Luqman ni terlibat persatuan silat sebelum ini, jadi saya biasa tandatangan surat kebenaran untuk aktiviti-aktiviti berkaitan yang mana gurunya bawa dia seperti ke Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sebab tu saya hairan dengan kejadian ini,” luah Jamaluddin ketika ditemui di kediaman mereka di sini hari ini.

Jamaluddin Wahudin


Menurutnya, kali pertama dia dimaklumkan mengenai kejadian itu adalah menerusi panggilan telefon daripada seorang warden asrama sekolah terbabit yang berada di lokasi kira-kira jam 6.40 petang.

Menurutnya, tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan mereka selepas mendapat perkhabaran itu kerana sudah menjangkakan kejadian terburuk berlaku kepada Muhammad Luqman.

“Muhammad Luqman merupakan salah seorang pemimpin di asrama dia dan dia merupakan anak kelima saya yang belajar di sekolah itu.

“Jadi, saya tahu tahap keselamatan ketat sekolah. Pengawal keselamatan pun garang, tak boleh sesuka hati keluar, hari sekolah pula tu. Jadi saya harap pihak sekolah boleh menjelaskan kenapa kejadian ini boleh berlaku,” katanya.

Jamaluddin berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu adalah pada hari Jumaat iaitu seminggu sebelum kejadian untuk menghantar sepasang baju Melayu.

Dia berkata, baju Melayu tersebut diperlukan anaknya itu bagi menghadiri jamuan hari raya yang berlangsung di sekolah terbabit.

Ibu bapa Allahyarham Muhammad Luqman Kamil menunjukkan gambarnya di telefon bimbit mereka.

Terdahulu dalam kejadian 17 April lalu, Muhammad Luqman yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, di sini dilaporkan lemas ketika mencari kepah di Pantai Balok.

Mayat pelajar itu kemudiannya ditemukan jam 2.15 petang keesokan harinya dalam keadaan terapung kira-kira 400 meter dari kuala oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan operasi.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa kejadian itu sedang dalam siasatan pihak berkuasa dan proses siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan juga sedang dijalankan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Remaja lelaki hilang ketika cari kepah ditemukan lemas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast