Gambar hiasan

MIRI – Seorang wanita kerugian RM485,832 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dalam talian yang dipromosikan menerusi Instagram.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mangsa berusia 48 tahun itu membuat laporan berhubung kes itu semalam selepas menyedari dirinya diperdaya.

Beliau berkata mangsa tertarik dengan iklan pelaburan itu sebelum berhubung dengan individu dikenali sebagai “Han Zhi Hai” melalui nombor telefon antarabangsa.

“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan dalam tempoh singkat sebelum membuat 14 pemindahan wang ke 12 akaun bank berbeza berjumlah RM485,832,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata mangsa mula curiga apabila gagal memperoleh keuntungan dijanjikan dan diberikan pelbagai alasan oleh suspek sebelum menyedari telah ditipu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast