Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) akan menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun Facebook yang didakwa menyebarkan fitnah mengaitkan parti itu dengan siasatan dana zakat baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, hantaran di media sosial berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah disifatkan sebagai fitnah dan cubaan menghasut rakyat, khususnya orang Melayu untuk membenci parti itu.

Tegasnya, siasatan yang sedang dijalankan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

“Tindakan ini diambil kerana hantaran-hantaran tersebut jelas mencemar nama baik AMANAH yang berpegang teguh dengan prinsip integriti.

“Cubaan mengaitkan AMANAH dengan siasatan dana zakat tersebut seolah-olah satu usaha untuk memburukkan nama AMANAH yang tegas memperjuangkan Islam,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, beliau percaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak terlibat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 5 Akta Fitnah 1957, Seksyen 501 Kanun Keseksaan serta Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama, tambahnya, Amanah turut mengarahkan pasukan peguam untuk memulakan tindakan sivil terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut.

Jelasnya, laporan juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan kandungan berunsur fitnah itu tidak terus tersebar tanpa kawalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast