JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan dua kapal Malaysia yang membawa bahan api berdepan beberapa sekatan selepas keluar dari Selat Hormuz di Iran.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang berunding dengan kerajaan Iran bagi membolehkan kapal-kapal Malaysia melepasi sekatan dengan selamat.
“Perkara ini akan dirunding segera setelah kapal Malaysia sudah diberikan laluan oleh kerajaan Iran khususnya oleh Presiden negara itu sendiri.
“Satu kapal sudah sampai (di Pengerang, Johor), satu lagi hampir sampai dan masuk dalam perairan Malaysia tapi dua yang sudah keluar itu masih lagi berhadapan dengan beberapa sekatan.
“Jadi, kita sedang berunding sebab kelulusan itu telah diberikan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Sembahyang Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Media sebelum ini melaporkan, lima lagi masih terkandas di Selat Hormuz susulan ketegangan geopilitik di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Anwar berkata, salah sebuah kapal Malaysia Masih terkandas di Pelabuhan Selat Hormuz setelah mempunyai masalah kerosakan hingga tak boleh berlepas. – MalaysiaGazette















