Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong bercakap pada Program Podcast MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 22 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA membidas tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang cuba mengheret parti itu dalam kemelut kenyataan membabitkan isu ternakan babi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, AMK Selangor tidak seharusnya menuding jari kepada pihak luar sebaliknya perlu merujuk kepada kepimpinan tertinggi kerajaan negeri memandangkan jawatan Menteri Besar Selangor disandang oleh pemimpin daripada parti mereka sendiri.

“Tindakan membabitkan MCA dalam usaha mempertahankan rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya DAP adalah tidak berasas.

“Baru bangun tidur ke? Kalau kamu nak mempertahankan DAP dalam isu babi sekali pun, tak perlulah membabitkan MCA,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Isu itu mula tercetus susulan kenyataan Siew Ki berkenaan isu ternakan babi yang mengundang kecaman dan desakan daripada pelbagai pihak termasuk pimpinan pemuda pembangkang.

“MB (Menteri Besar) Negeri Selangor kan dari parti kamu sendiri! Tanyalah pemimpin kamu sendiri,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Mohammad Haziq Izwan Mohd Husni mempersoalkan pendirian Pemuda MCA dan Pemuda parti Gerakan berhubung desakan Pemuda Pas yang mahukan Adun Seri Kembangan digantung daripada sidang DUN.

AMK Selangor sebelum ini menyatakan minat untuk mengetahui sama ada MCA mempunyai pendirian yang sama dengan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang didakwa cuba memainkan politik sentimen secara berlebihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast