KUALA LUMPUR – Padah melakukan aksi tidak senonoh terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya di Gerik, seorang lelaki diberkas polis selepas tindakannya melakukan gangguan seksual terhadap pekerja premis itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, laporan kejadian diterima pukul 5.57 petang semalam daripada mangsa berusia 25 tahun yang bekerja di premis berkenaan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.33 petang apabila mangsa terdengar bunyi mencurigakan sebelum mendapati suspek membuka zip seluar dan melakukan perbuatan tidak senonoh sambil memandang ke arahnya.
“Mangsa kemudian bertindak merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit serta menegur suspek, menyebabkan lelaki itu beredar dari lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Samad berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek berusia 55 tahun dan permohonan reman akan dibuat bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, video berdurasi dua minit 31 saat memaparkan kejadian itu tular di media sosial, menunjukkan seorang wanita memarahi lelaki terbabit selepas suspek beronani di hadapan mangsa. – MalaysiaGazette
















