Gambar kemalangan melibatkan motosikal dengan sebuah kereta yang tular di media sosial semalam.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan satu kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta di Jalan 16/11, Petaling Jaya yang tular di media sosial semalam.

Siasatan awal mendapati insiden berlaku apabila motosikal menukar lorong secara mengejut sebelum dilanggar dari belakang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya mengesan video tular berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3 petang semalam.

Siasatan melalui keterangan dan rakaman video dashcam mendapati kemalangan berlaku pada hari sama kira-kira pukul 7.10 pagi.

“Ketika kejadian, motosikal dinaiki mangsa bersama pembonceng berada di lorong kiri sebelum secara tiba-tiba menukar laluan ke lorong kanan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, motokar yang dipandu di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pelanggaran itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal terjatuh di atas jalan.

Tambahnya, pemandu motokar terbabit yang merupakan seorang wanita tempatan segera memberhentikan kenderaan dan memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum membawa mereka mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Asisten Komisioner Shamsudin Mamat

“Pemandu tersebut turut hadir ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Shamsudin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta berhemah ketika memandu bagi mengelakkan kemalangan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu yang memandu secara berbahaya dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast