BATU KAWAN – Kementerian Pengangkutan sedang meneliti beberapa pilihan bagi mengurangkan cukai jalan kenderaan diesel dalam usaha meringankan beban pemilik dan masa sama memastikan hasil kerajaan tidak terjejas.
Menterinya, Anthony Loke berkata, mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah jelas iaitu kerajaan perlu membantu pemilik kenderaan yang terkesan dengan struktur harga semasa namun sebarang keputusan perlu mengambilkira implikasi kewangan.
“Mandat Perdana Menteri jelas, kita mesti membantu pemilik kenderaan, khususnya mereka yang terkesan dengan struktur harga semasa.
“Tetapi apa-apa keputusan perlu mengambil kira implikasi kewangan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas antara mekanisme yang dikenal pasti pihaknya bagi menurunkan cukai jalan kenderaan diesel.
Tambah Anthony, ketika ini harga bahan api dilaksanakan melalui mekanisme apungan dengan subsidi bersasar, namun tidak semua pemilik kenderaan diesel menerima bantuan tersebut, sekali gus meningkatkan tekanan kos kepada mereka.
“Semakan yang dilakukan kementerian turut melibatkan pelbagai pertimbangan termasuk kesan kepada hasil kerajaan serta kesesuaian dasar.
“Ini bukan perkara yang boleh diputuskan dalam sehari. Ia melibatkan beberapa implikasi termasuk berapa banyak hasil yang kerajaan sanggup lepaskan.
“Kita sedang berusaha menyiapkan cadangan dalam tempoh terdekat sebelum diumumkan kepada orang ramai,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan pertimbang kurangkan cukai jalan kenderaan diesel – PM
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan diesel sebagai langkah meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos bahan api.
Beliau juga telah meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mencari jalan bagi melaksanakan pengurangan cukai jalan kenderaan diesel dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette
















