KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengalu-alukan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu berkuat kuasa pada 13 Mei depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN percaya pelantikan seorang tokoh berpengalaman dalam bidang kehakiman dan perundangan boleh membawa harapan baharu ke arah memperkukuh integriti, ketegasan serta profesionalisme agensi pencegahan rasuah negara itu.
Menurutnya, ia turut mewujudkan jangkaan bahawa SPRM akan dipimpin dengan lebih bebas dan adil berteraskan prinsip kedaulatan undang undang, setelah agensi tersebut bergelut dengan pelbagai dakwaan dan publisiti yang dipersoalkan di bawah kepimpinan terdahulu.
Tambah beliau, pelantikan itu perlu dilihat lebih daripada sekadar pertukaran individu di peringkat kepimpinan.
“Ia perlu menjadi titik permulaan kepada usaha menyeluruh untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang benar-benar bebas, berwibawa dan bertaraf dunia yang digeruni penjenayah, selain dihormati oleh masyarakat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Takiyuddin, rakyat tentunya mahu melihat siasatan dijalankan tanpa memilih bulu, campur tangan politik atau layanan berbeza berdasarkan kedudukan, pengaruh atau kepentingan tertentu yang jelas menghakis kepercayaan dan dipersoal rakyat.
Menurutnya, kes-kes berprofil tinggi serta isu-isu ketidakcekapan atau salah laku yang melibatkan kepentingan awam hendaklah disiasat secara telus, profesional seterusnya disusuli tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan juga perlu menimbangkan langkah untuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang, meningkatkan ketelusan proses pelantikan, memperkasa perlindungan pemberi maklumat, menambah baik keupayaan teknologi dan kepakaran forensik kewangan, serta memastikan akauntabiliti menyeluruh berkait SPRM agar setanding agensi antirasuah terbaik dunia.
“Rakyat menuntut hasil nyata dalam usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi barah yang membunuh keberhasilan bakat serta potensi negara ini sejak sekian lama,” katanya.
Tambah beliau, PN akan terus menyokong usaha-usaha tulen untuk membanteras rasuah, termasuk cadangan meletakkan SPRM di bawah kawalan terus Parlimen, selain kekal tegas menyambut baik reformasi institusi yang jujur dan berani demi kepentingan negara. – MalaysiaGazette
















