Laporan polis yang dibuat Putra berhubung isu membabitkan Sofia Rini.

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat berhubung video tular yang memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini yang mengemukakan dakwaan serius termasuk kononnya melibatkan pemimpin tertinggi negara dan individu tertentu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan serta kepentingan negara.

Menurut Ketua Penerangan Parti Putra, Shahrulutfi Sharif, laporan tersebut dibuat oleh Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, Norsharizal Nordin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, kira-kira pukul 8.51 malam tadi.

Dalam laporan itu, katanya, Putra menggesa pihak polis membuka kertas siasatan dengan segera serta mengambil tindakan termasuk merakam keterangan wanita terbabit dan individu yang terlibat dalam perbualan berkenaan.

“Video tular itu memaparkan beberapa dakwaan serius, antaranya berkaitan aliran wang berjumlah besar ke luar negara serta tuduhan melibatkan tokoh politik dan bekas pegawai khas.

“Selain itu, timbul juga dakwaan berhubung status kewarganegaraan individu tertentu yang, jika benar, boleh menyalahi undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Putra menegaskan bahawa, dakwaan seperti itu merupakan isu berat yang berpotensi dikaitkan dengan kesalahan jenayah seperti rasuah dan pengubahan wang haram serta boleh memberi kesan besar kepada reputasi negara dan kepimpinan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, pihak yang dikaitkan dilaporkan telah menafikan dakwaan berkenaan.

“Sehubungan itu, siasatan telus oleh pihak berkuasa dilihat penting bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan serta integriti semua pihak terpelihara,” ujarnya.

Pada masa sama, Shahrulutfi berkata, Putra menyeru semua pihak termasuk ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan rakyat agar tampil bersuara secara bertanggungjawab serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan demi kepentingan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast