Video yang tular menunjukkan Ketua Bahagian UMNO Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang berinteraksi dengan wanita itu namun tidak mendedahkan identiti dan wajahnya.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menafikan dakwaan Pusat Khidmatnya tidak membantu seorang wanita yang membuat permohonan bantuan di kawasan tersebut.

Beliau turut mempersoalkan video tular yang menunjukkan Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang berinteraksi dengan wanita itu, namun tidak mendedahkan identiti dan wajahnya.

Katanya, wanita yang ditunjukkan di dalam video tersebut tidak pernah membuat permohonan di Pusat Khidmat Parlimen Machang.

Malah, jelasnya, sehingga kini Pusat Khidmat Machang tidak pernah menolak bantuan yang dipohon penduduk sekitarnya.

“Kalau betul wanita itu telah hantar (permohonan) dan tolak saya mahu semak dulu sebelum disahkan. Setakat yang saya tahu tidak pernah lagi pasukan saya menolak sebarang permohonan yang dibuat oleh warga Machang. Kalau ada saya perlu semak dahulu.

“Yang saya kesal video Datuk Lan (Jazlan) ni tidak menunjukkan identiti wanita tersebut, macam mana kami mahu semak sama ada wanita itu benar-benar telah hantar permohonan bantuan,” katanya menerusi video di Facebook.

Wan Ahmad Fayhsal turut menempelak Jazlan sambil memberi amaran supaya pemimpin UMNO di Parlimen tersebut tidak menyebarkan fitnah sebagai strategi politik untuk menyerangnya.

“Janganlah guna politik sebegini wahai Datuk Jazlan. Kamu nak berpolitik biarlah berintegriti, berakhlak jangan fitnah. Kalau benar, sahihkan identiti wanita tersebut jangan serkap jarang, Tidak baik main tuduh,” tambahnya.

Tegasnya lagi, sebagai Pengerusi FELCRA, Ahmad Jazlan mempunyai banyak manfaat untuk membantu penduduk sekitar Machang berbanding beliau sebagai Ahli Parlimen pembangkang yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

“Saya Ahli Parlimen Machang, 0 sen sampai sekarang. Nak (Bantuan) masuk sekolah pun tidak dapat, berbanding dengan Ketua Bahagian UMNO Machang.

“Bagi yang benar-benar terpilih bagi membantu rakyat Machang, dinafikan segala hak seperti yang diberikan Ahli-Ahli Parlimen lain.

“Jadi Datuk Jazlan, hati-hati dalam berpolitik,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast