MAKKAH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menegaskan pematuhan ketat terhadap permit rasmi haji adalah keperluan asas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah.
Menurutnya, pematuhan peraturan itu membolehkan jemaah melaksanakan ibadah mereka dengan mudah dan tenang, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada kelancaran pergerakan serta kestabilan keseluruhan Musim Haji 1447H.
Dalam kenyataan media hari ini, kementerian turut memberi amaran bahawa pelanggaran peraturan ini bukan sahaja mendedahkan pesalah kepada tindakan undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan keseluruhan jemaah serta kecekapan infrastruktur perkhidmatan.
Ia juga mengingatkan tentang kempen haji tanpa lesen serta penularan iklan mengelirukan di platform media sosial.
“Bagi memastikan pematuhan di peringkat global, kementerian terus berkoordinasi dengan pejabat urusan haji di seluruh dunia untuk menyebarkan panduan dan mesej kesedaran kepada jemaah di negara masing-masing sebelum ketibaan mereka.
“Pendekatan proaktif ini bertujuan menyusun perjalanan ibadah haji sejak peringkat awal lagi,” jelasnya.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut menggesa semua bakal jemaah haji supaya mengesahkan kesahihan permit sebelum membuat sebarang urusan perjalanan.
Tegasnya lagi, dasar “Tiada Haji Tanpa Permit” adalah jaminan utama bagi pengalaman ibadah yang selamat dan penuh ketenangan rohani bagi setiap pengunjung Dua Masjid Suci. – MalaysiaGazette
















