JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menggesa kerajaan negeri perkenal Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Johor untuk berdepan impak krisis tenaga global.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, ini bertujuan menangani kesan langsung ketidaktentuan ekonomi global yang semakin memberi tekanan kepada rakyat dan sektor perniagaan.

Jelasnya, pakej berkenaan perlu memberi keutamaan kepada kumpulan sasar danbgolongan rentan yang paling terkesan akibat kenaikan harga bahan api.

“Ini termasuk pengusaha bas sekolah, bas pelancong, pengusaha bot pelancongan khususnya di Mersing, nelayan kecil serta golongan petani, demi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Ketua Pemuda UMNO Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di Jalan Yahya Awal di sini semalam.

Jelasnya, melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) diberikan rebat, potongan sewa serta pengurangan cukai premis bagi meringankan beban peniaga kecil dan sederhana yang sedang berdepan peningkatan kos operasi.

Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) juga katanya, disaran menawarkan diskaun sewa kepada penyewa rumah PKPJ bagi membantu golongan terkesan menghadapi tekanan ekonomi semasa.

Pemuda UMNO Johor juga mencadangkan agar golongan bujang bawah 40 tahun dipertimbangkan sebagai penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Ke-4.

Beliau berkata, turut dicadang untuk memasukkan pekerja pos dan pengawal keselamatan pelbagai sektor webagai penerima bantuan BKJ, selari dengan realiti kos sara hidup yang semakin mencabar.

Tambahnya, cadangan itu selepas Pemuda UMNO Johor meneliti perkembangan krisis tenaga global semasa dan pakej tersebut wajar diperkenalkan.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast