MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun hanyut selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di hadapan rumahnya dan dibawa arus ke sungai dekat Taman Ayer Keroh Heights, Ayer Keroh di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 5.53 petang dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Melaka.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh kemudian digerakkan ke lokasi diketuai Komander Operasi, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Amrizal Abdul Jalil.
“Setibanya di lokasi, terdapat seorang kanak-kanak lelaki yang dikatakan di bawa arus sehingga ke sungai berkenaan.
“Pasukan yang melakukan pencarian di permukaan air kemudian menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jarak kira-kira enam meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.
“Pihak ambulans hospital kemudian memberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan (CPR) sebelum mangsa dikejarkan ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini, keadaan terkini mangsa masih belum diperoleh,” katanya sambil menambah operasi melibatkan enam anggota bomba itu turut dibantu tiga pegawai kesihata serta empat anggota polis. – MalaysiaGazette
















