Gambar hiasan

KOTA TINGGI – Seorang lelaki tempatan rugi RM738,950 selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp yang menjanjikan keuntungan mencecah jutaan ringgit.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun tampil membuat laporan kejadian itu semalam.

“Mangsa dikatakan mula terjebak dengan skim pelaburan dikenali sebagai pelaburan kecerdasan buatan (AI) selepas diperkenalkan oleh individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp pada Februari lalu.

“Mangsa telah ditawarkan keuntungan lumayan sehingga mencecah jutaan ringgit sekiranya menyertai pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terpedaya dengan janji berkenaan, mangsa membuat lima transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun penerima berbeza dengan jumlah keseluruhan RM738,950.

Katanya, sindiket turut meminta mangsa membuat bayaran tambahan secara berperingkat-peringkat kononnya bagi membolehkan keuntungan pelaburan berjumlah RM10 juta yang didakwa disekat dalam aplikasi berkenaan dikeluarkan.

Mangsa katanya, bagaimanapun mula menyedari ditipu apabila gagal menerima sebarang pulangan selain tidak dapat mengeluarkan wang pelaburan tersebut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast