KUALA LUMPUR – “Kita akan umum kemudian,” demikian kenyataan ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu semasa di Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata demikian ketika ditanya mengenai sebarang perkembangan terkini berhubung penarikan sokongan 14 ADUN Barisan Nasional terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Naib Presiden PKR.
Terdahulu, Aminuddin menerusi sidang medianya menegaskan, beliau kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan meskipun 14 ADUN BN telah menarik sokongan terhadapnya, hari ini.
Katanya, tanggungjawab itu akan terus dipikulnya selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang menitahkan beliau terus mentadbir kerajaan negeri.
Pagi tadi, 14 Adun BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Penarikan sokongan itu mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Adun BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dalam satu sidang media khas.
Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Bakar, kemudian turut mengadakan satu sidang media, mengumumkan lima Adun Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan 14 Adun BN itu.-MalaysiaGazette
















