KUALA LUMPUR – Tekanan kos sara hidup yang semakin memuncak di Selangor mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz tampil mendesak kerajaan negeri supaya berani mengubah pendekatan dengan langkah lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Beliau berkata, walaupun Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor 2026 bernilai RM130.42 juta dilihat sebagai usaha baik, realiti di lapangan menunjukkan rakyat masih bergelut untuk bernafas dalam menghadapi kos hidup yang terus melonjak.
“Namun, sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab menyuarakan keprihatinan konstituen, saya ingin mengetengahkan beberapa perkara yang saya percaya boleh memperkukuh lagi keberkesanan usaha murni ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kos sara hidup sebuah keluarga di Lembah Klang kini mencecah RM7,440 sebulan, angka yang jelas membayangkan tekanan luar biasa ke atas isi rumah, ditambah dengan kenaikan harga barangan, kos pengangkutan dan kesan ketidaktentuan global.
Lebih membimbangkan, katanya, Selangor turut merekodkan 5,900 pekerja hilang pekerjaan pada Mac lalu, tertinggi di Malaysia sekali gus memburukkan lagi beban rakyat selain peniaga kecil yang turut terhimpit dengan kenaikan kos operasi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendekatan sedia ada yang banyak bergantung kepada bantuan seperti baucar dan subsidi hanya meredakan tekanan sementara tanpa menyelesaikan punca sebenar kenaikan harga.
“Yang masih boleh diperkukuh ialah intervensi bekalan (supply-side intervention), mekanisme yang menekan harga itu sendiri turun,” ujarnya.
Nushi turut membangkitkan beberapa persoalan kritikal termasuk kriteria kelayakan Baucar Kita Selangor yang masih kabur, skala capaian bantuan yang dilihat terhad serta hala tuju program selepas November 2026.
Katanya, golongan M40 bandar, pekerja gig dan peniaga mikro juga tidak boleh terus tercicir dalam kerangka bantuan sedia ada yang dilihat belum cukup inklusif.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan langkah lebih berani termasuk memperkukuh mekanisme kawalan harga secara struktural, memperluas bantuan mengikut lokaliti serta menubuhkan Dana Kos Sara Hidup sebagai benteng jangka panjang kepada rakyat. – MalaysiaGazette
















