KUALA LUMPUR – Krisis perlembagaan yang melanda Negeri Sembilan ketika ini perlu dilihat sebagai dua perkara berbeza yang menuntut penyelesaian segera bagi mengelakkan kestabilan negeri terus tergugat.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berpendapat, walaupun isu melibatkan hubungan antara Undang Yang Empat dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah penting, namun isu keabsahan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun perlu diselesaikan secara berasingan melalui proses perlembagaan yang jelas.
Menurutnya, mengikut lunas undang-undang, kuasa untuk melantik Menteri Besar atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Besar tanpa perlu melibatkan peranan Undang.
“Dua isu ini adalah berasingan. Dari sudut operasi Perlembagaan, ia tidak boleh dicampur aduk. Apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hilang keyakinan kepada Menteri Besar, proses Perlembagaan perlu dilaksanakan sebagaimana diperuntukkan tanpa mengambil kira isu hubungan antara Undang dan Yang di-Pertuan Besar.
“Soal pelantikan Menteri Besar atau membubarkan DUN adalah kuasa Yang di-Pertuan Besar tanpa melibatkan Undang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Muhammad Fathi bagaimanapun tidak menafikan Negeri Sembilan kini sedang berhadapan dengan satu krisis perlembagaan yang besar apabila dua kemelut utama ini berlaku pada waktu yang sama.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana impaknya akan dirasai oleh rakyat, terutama apabila pentadbiran negeri mula kehilangan legitimasi (keabsahan) untuk membuat keputusan dasar.
“Isu ini juga tidak boleh dibiarkan lama kerana ia melibatkan dua isu serentak. Pertama, kedudukan Undang dan Yang di-Pertuan Besar, dan kedua berkaitan Menteri Besar.
“Ini krisis besar. Ia menjejaskan kestabilan politik dan kesannya kepada rakyat dalam situasi ekonomi yang tidak menentu. Politik sepatutnya diselesaikan dengan cara segera,” tegas beliau lagi.
Tambahnya, untuk jalan keluar terbaik, Yang di-Pertuan Besar perlu melakukan semakan segera terhadap sokongan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Jalaluddin Alias.
“Jika benar Aminuddin telah hilang sokongan majoriti, baginda boleh memilih untuk melantik Menteri Besar yang baharu daripada kalangan ADUN yang mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 19 kerusi bagi mengelakkan keperluan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kaedah lebih baik untuk elak PRN adalah dengan Yang di-Pertuan Besar merujuk semula kepada ADUN-ADUN sama ada mereka mempunyai calon Menteri Besar yang lain.
“Istilah ‘menteri besar sementara’ tidak ada dalam perlembagaan, jadi keputusan mutlak perlu dibuat segera.
“Jika jumlah kerusi BN dan PN bergabung, mereka cukup 19 kerusi untuk membentuk kerajaan. Semuanya bergantung kepada komunikasi politik mereka,” katanya.
Tumpuan kini terarah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Besar untuk menamatkan kemelut di Negeri Sembilan, sama ada melalui pertemuan khusus dengan semua ADUN atau merujuk kepada usul bertulis yang dihantar bagi menentukan masa depan pentadbiran Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















