MUAR – Pas tidak menolak kemungkinan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama-sama kepimpinan negeri.
“Kalau boleh, 56 kita nak bertanding,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ceramah Perdana Perikatan Nasional Negeri Johor di Pusat Komuniti Pas Muar, Parit Tarom di sini malam tadi.
Turut hadir Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed; Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman.
Sanusi yang juga Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun menegaskan, keputusan muktamad berhubung agihan kerusi akan diputuskan selepas perbincangan kepimpinan Pas negeri serta parti dalam PN Johor.
Muhammad Sanusi yang juga Bendahari PN berkata, Pas Johor berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRN Johor pada bila-bila masa, dengan jentera parti di semua peringkat sudah digerakkan lebih awal.
“Persiapan Johor, orang Johor ini ‘ready anytime’. Kita pun bersiap.
“Jentera di peringkat negeri sudah dilancarkan dan bila pelancaran di peringkat negeri dibuat, maka di kawasan-kawasan juga telah dibuat pelancaran,” katanya.- MalaysiaGazette
Datuk Seri Sanusi Md Nor ketika sidang akhbar selepas Program Ceramah Perdana Perikatan Nasional Negeri Johor di Pusat Komuniti Pas Muar, Parit Tarom, Muar malam tadi.
















