Zaliha menerima cenderahati selepas memberi penerangan isu semasa dalam siri ceramah kelompok di DUN Bukit Batu, Kulai kelmarin.

KULAI – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ketua Penerangan PKR Johor, Fakharuddin Moslim berkata, parti itu yakin dapat mengekalkan kemenangan di Bukit Batu dengan kesatuan gerak kerja jentera dan sokongan rakyat setempat.

“Dengan kekuatan organisasi dan sokongan rakyat, kita akan terus mara ke hadapan demi memastikan DUN Bukit Batu terus kekal dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bagi mempergiat usaha memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi PKR menganjurkan siri ceramah kelompok di DUN Bukit Batu, kelmarin.

Menurut Fakharuddin, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turun padang memberi penerangan isu semasa dalam ceramah kelompok tersebut.

Jelas Ketua PKR Cabang Tenggara itu, program berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan parti untuk mendekati rakyat serta menyampaikan aspirasi perjuangan secara langsung.

Menurut beliau, ceramah tersebut turut menampilkan barisan pimpinan utama negeri yang lain termasuk Timbalan Pengerusi PKR Johor, Ysahrudin Kusni; Setiausahanya, Khuzzan Abu Bakar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

Beliau berkata, kehadiran pimpinan serta sambutan yang diberikan penduduk setempat membakar semangat parti dalam memperkasakan agenda reformasi, kestabilan politik dan kebajikan rakyat.

Pada 5 Mac lalu, Zaliha menyatakan pihaknya mengenal pasti 28 kerusi yang berpotensi ditandingi pada PRN Johor.

Menurut Ahli Parlimen Sekijang itu, kerusi-kerusi DUN berkenaan berpotensi untuk ditandingi dan keputusan tersebut dibincang dan dipersetujui Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Terdapat 56 kerusi DUN di Johor dan dalam PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 12, Perikatan Nasional (PN) tiga dan (MUDA) satu.

PKR bertanding di 20 kerusi DUN dan daripada jumlah tersebut hanya berjaya memenangi satu kerusi iaitu di DUN Bukit Batu menerusi Sen Sern.- MalaysiaGazette

Zaliha menerima cenderahati selepas memberi penerangan isu semasa dalam siri ceramah kelompok di DUN Bukit Batu, Kulai kelmarin.

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast