Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

MELAKA – DAP Melaka menafikan wujud sebarang perbincangan dalam Pakatan Harapan (PH) negeri berhubung cadangan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti didakwa Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menegaskan, malah DAP sebagai rakan bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan di Melaka juga tidak menyokong cadangan tersebut.

“Setakat pengetahuan DAP Melaka, tiada sebarang perbincangan dalam PH Melaka berhubung cadangan ADUN lantikan ini.

“DAP Melaka juga tidak menyokong cadangan tersebut,” kata Ahli Parlimen Kota Melaka itu menerusi Facebook (FB) rasminya di sini hari ini.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menunjukkan wujudnya perbezaan pendapat di antara pimpinan komponen PH Melaka mengenai strategi menghadapi PRN Melaka.

Terdahulu, Adly yang juga Naib Presiden Amanah dan Ahli Parlimen Alor Gajah dilaporkan mencadangkan pelantikan ADUN sebagai antara ruang kerjasama dengan(BN) menjelang PRN Melaka.

Cadangan itu dikemukakan susulan pendekatan terbuka PH dalam meneroka kerjasama politik, termasuk selepas pertemuan awal dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, beberapa cadangan telah dikemukakan kepada BN sebagai asas perbincangan, namun mengakui realiti politik menyaksikan setiap parti cenderung mempertahankan kerusi masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast