KUALA LUMPUR – Pasukan Universiti Malaya (UM) mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori Formula Student Electric Vehicle (FSAE EV) dalam kejohanan Formula Student Malaysia (FSM) 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 23 April lalu.
Kemenangan itu menjadi bukti peningkatan ketara pasukan berkenaan selepas hanya menduduki tempat keempat dalam kejohanan NXGV 2025 yang ditaja Perodua, MARii dan SAE-M.
Lonjakan prestasi tersebut turut didorong oleh pertambahan keanggotaan pasukan daripada 40 kepada 70 pelajar yang komited menyumbang kepakaran dalam pembangunan jentera elektrik (EV) mereka.

Dalam kejohanan itu, pasukan UM cemerlang dalam acara dinamik apabila meraih tempat pertama bagi acara Autocross dengan catatan masa 1.00 serta berjaya menamatkan 10 pusingan dalam acara Endurance.
Mereka turut menduduki tempat kedua dalam acara statik.
Namun, di sebalik kejayaan itu, pasukan tersebut berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan kewangan dan ruang bengkel yang terhad bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Kejayaan tersebut turut disokong oleh rakan industri seperti CNC Innovations yang menaja penghasilan komponen tersuai, selain sumbangan daripada Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin, Press Metal serta penaja lain yang membantu dari segi dana.
Ketua pasukan, Atif Affan Norazman berkata, kejayaan itu diharap menjadi titik permulaan untuk pasukan terus melangkah lebih jauh dalam industri automotif.
“Harapan saya, kejayaan ini hanyalah permulaan. Kami mahu terus memperbaiki jentera sedia ada dan berharap sokongan terhadap pembangunan teknologi EV ini akan lebih konsisten.
“Kami ingin buktikan bahawa anak muda tempatan mampu berdaya saing di peringkat global sekiranya diberi ruang dan sokongan yang secukupnya,” katanya dalam satu kenyataan daripada UM hari ini.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan kemampuan anak muda Malaysia untuk bersaing di peringkat tinggi menerusi kerjasama berpasukan yang kukuh serta sokongan industri yang berterusan. – MalaysiaGazette
















