KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan berusia 57 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes penganiayaan terhadap seorang bayi perempuan berusia setahun tiga bulan di sebuah rumah di Taman Semarak, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa selepas wanita itu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan suspek dipercayai bertindak tidak wajar terhadap anaknya.
Menurut beliau, mangsa ketika itu berada di bawah jagaan suspek yang merupakan individu dipercayai dan diupah sebagai penjaga anak dengan bayaran bulanan RM450 sejak kira-kira setahun lalu.
“Mangsa mendakwa melihat beberapa perlakuan tidak sepatutnya dilakukan terhadap kanak-kanak itu ketika dia berada di tempat kerja. Rakaman CCTV turut menunjukkan kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa di bawah jagaan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan dibuat di Balai Polis Tawau, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau bersama Balai Polis Bombalai menjalankan operasi mengesan suspek.
“Hasil tindakan pantas, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 3.45 petang di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar,” katanya.
Tambah beliau, suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan terhadap kanak-kanak.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak terpelihara serta segera melaporkan sebarang kes penganiayaan kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















