Dua individu, Mohd Yusof Mohd Noor dan Dicky, menerima pengiktirafan khas Sahabat Perpaduan Madani hari ini.

PUTRAJAYA – Tindakan ikhlas membantu tanpa mengira latar belakang membawa dua individu, Mohd Yusof Mohd Noor dan Dicky, menerima pengiktirafan khas Sahabat Perpaduan Madani hari ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, kisah tular melibatkan Yusof yang membantu Dicky selepas motosikalnya rosak membuktikan nilai perpaduan sebenar hidup melalui tindakan kecil yang lahir daripada keikhlasan.

Menurutnya, insiden itu mencerminkan semangat kemanusiaan yang merentasi batas kaum, agama dan status sosial.

“Tiga nama, tiga latar berbeza, tetapi satu cerita yang sama tentang manusia dan perpaduan. Apa yang ditunjukkan oleh Yusof dan Dicky adalah cerminan Malaysia yang kita cintai, sebuah negara yang dibina atas nilai hormat, belas ihsan dan kebersamaan,” katanya hari ini.

Yuneswaran menegaskan, pengiktirafan Sahabat Perpaduan Madani diberikan sebagai tanda penghargaan kepada individu biasa yang melakukan perkara luar biasa demi masyarakat.

“Yusof membantu dengan ikhlas, manakala Dicky pula menjadi sebahagian daripada kisah yang membuka mata ramai pihak bahawa kebaikan masih subur dalam masyarakat kita.

“Mereka wajar diangkat sebagai contoh bahawa perpaduan bermula daripada tindakan manusiawi yang mudah tetapi besar maknanya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap kisah berkenaan dapat menjadi inspirasi kepada rakyat untuk terus menyemai budaya saling membantu serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk.

Katanya, dalam kerangka Malaysia Madani, setiap perbuatan baik yang menyatukan masyarakat perlu diraikan dan dijadikan teladan agar nilai perpaduan terus hidup dalam kehidupan seharian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast