Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkongsi panduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kaedah untuk mencari beliau sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan kes perjanjian semikonduktor ARM bernilai RM1.12 bilion.

Panduan itu susulan bekas pegawainya, James Chai pagi tadi hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan selepas pulang dari London.

Menurut Rafizi, James Chai merupakan saksi terakhir yang diambil keterangan oleh SPRM, sekali gus menjadikan beliau mungkin akan dipanggil seterusnya.

“Maka saya mungkin dipanggil, seterusnya ditahan dan didakwa dalam tempoh seminggu, dua minggu atau tiga minggu dari sekarang.

“Masalahnya saya tidak ada Whatsapp dan saya tidak angkat telefon yang saya tidak kenali. Banyak scammer sekarang ni.

“Jadi saya mohon kepada SPRM untuk menghantar notis memanggil saya memberi keterangan, atau kalau nak tangkap hantar notis siap-siap, ke email saya [email protected]

“Jangan bimbang, saya tidak pernah lari ke mana. Dah berpuluh kali saya kena tahan pihak berkuasa dari 2010 lagi, tidak pernah sekali pun saya lari.

“Insya Allah kita jumpa di ibu pejabat SPRM Putrajaya dalam masa yang terdekat ini,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Terdahulu, mengimbau semula isu ARM yang kini disiasat SPRM, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, pada Mac 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan usaha sama itu untuk membolehkan Malaysia berubah dari menjadi pengilang yang memasang cip semikonduktor kepada pencipta yang mereka bentuk cip semikonduktor.

“Saya tahu siasatan itu tidak ada kena mengena dengan wang yang hilang.

“Kalau tidak dah lama saya ditahan dan berpuluh juta wang dipamerkan kepada orang ramai, seperti yang pernah berlaku dalam kes ahli politik lain.

“Siasatan menjurus kononnya saya mendesak kerajaan untuk menandatangani usaha sama itu secara tergesa-gesa.

“Macam perjanjian ART yang sesetengah pihak kata tergesa-gesa lah.

“Cuma yang saya disiasat besar-besaran, yang ART itu langsung tidak disentuh.

“Pun begitu, saya berbesar hati untuk membantu siasatan SPRM,” katanya.

Terdahulu, James Chai tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 9.50 pagi tadi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan berkaitan perjanjian mega dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), iaitu ARM Holdings Plc. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast