JOHOR BAHRU – Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) menyatakan kesediaan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Timbalan Pengerusi MMSP Johor, James Selvanathan berkata, keputusan itu dicapai selepas analisis demografi pengundi dan permintaan akar umbi khususnya komuniti India di kawasan tersebut.
Dakwanya yang juga Pengarah Pilihanraya MMSP Johor, komuniti itu memerlukan suara mewakili mereka yang lebih inklusif di bawah payung Barisan Nasional (BN).
“Jentera parti di peringkat bahagian Tebrau sudah pun digerakkan sepenuhnya bagi memastikan kesiapsiagaan dari sudut logistik dan gerak kerja lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MMSP katanya, menekankan beberapa fokus utama bagi kawasan DUN Puteri Wangsa yang perlu dilakukan antaranya pembangunan sosio ekonomi dengan memperkasakan peluang perniagaan kecil dan sederhana bagi penduduk setempat.
Selain itu, katanya, kebajikan pendidikan dengan memastikan akses pendidikan berkualiti dan bantuan biasiswa sampai kepada golongan B40.
Begitu juga, ujarnya, kesejahteraan komuniti iaitu menjadi jambatan penghubung yang efektif antara rakyat dan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu-isu infrastruktur setempat.
Hasrat itu tambah beliau, akan dibawa ke meja rundingan Majlis Tertinggi BN untuk pertimbangan sewajarnya melalui kepimpinan tertinggi parti.
Dalam pada itu, katanya, MMSP Johor menzahirkan rasa amat puas hati dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, di bawah teraju Onn Hafiz, Johor terus memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.
“Kami melihat kestabilan dan kemajuan yang dibawa oleh Menteri Besar sebagai satu inspirasi.
“Oleh itu, MMSP Johor berhasrat untuk menyertai barisan Exco Kerajaan Negeri pada masa akan datang bagi mewakili masyarakat India secara lebih efektif,” ujarnya.
Sebelum ini Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tebrau sebulat suara untuk meletak calon mereka di DUN Puteri Wangsa pada PRN Johor yang dijadualkan dalam tahun ini.
Terdahulu Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat dilaporkan berkata, parti yang akan bertanding di DUN Puteri Wangsa pada PRN Johor akan diputuskan selepas perbincangan dibuat. – MalaysiaGazette
















