ROMPIN – Sepasang suami isteri yang baru melangsungkan perkahwinan meluahkan rasa syukur menerima kunci rumah mampu milik PR1MA Pahang Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, di sini.
Menurut Nurul Mas Aqidah Mohamad Azahar, 33, dia dan suaminya, Ahmad Syukri Shaiful Yazan, 36, sebelum ini menetap di rumah keluarga bersama tiga lagi adik perempuannya.
“Kami baru mendirikan rumah tangga tak sampai setahun pun lagi dan tinggal di rumah keluarga di Desa Anggerik, dengan tiga adik beradik perempuan yang belum berkahwin.
“Kalau suami balik kerja tu, memang adik-adik ada batas pergerakan sikit di rumah.
”Selesa sikit sekarang dapat rumah ini. Banyak-banyak terima kasih kepada kerajaan negeri sebab negeri lain tak buat tawaran macam ni kepada penduduk mereka. Tambahan pula saya penjawat awam dapat lagi kurang 10 peratus diskaun,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 19 Mac itu melibatkan keseluruhan 412 unit rumah bernilai RM61.8 juta yang dibangunkan secara empat fasa.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mempergiat usaha membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.
“Dan rumah ini saya ucapkan tahniah kepada pemaju kerana dapat menyiapkannya mengikut jadual. Kualitinya cantik dari segi dalaman rumah dan rata-rata penerima rumah menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan kerja-kerja yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Pinggiran Pelangi, dan Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Muadzam Shah, di sini petang semalam.
Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam serta wakil pemaju.
Menurut Wan Rosdy, lebih banyak projek perumahan sedang dalam pembinaan di seluruh negeri, namun masih belum memperoleh CCC sebelum boleh diserahkan kepada pembeli.
“Ya, ini adalah program yang berterusan. Sebenarnya masih banyak yang dalam pembinaan. Tetapi belum dapat sijil menduduki ataupun CCC.
“Selepas ini di Muadzam Shah juga, ada lagi satu yang saya akan datang insya-Allah untuk bagi kunci,” katanya.

Dalam majlis sama, projek PR1MA Muadzam Shah turut dilancarkan melibatkan pembangunan di atas tanah kerajaan seluas 50 ekar merangkumi perumahan dan pembangunan bercampur.
Difahamkan, sehingga Mac lalu, projek tersebut kini berada pada peringkat pembersihan tapak, kerja tanah serta pembinaan struktur rumah.
Sehingga hari ini, kerajaan negeri telah berjaya menyiapkan sebanyak 29,060 unit rumah di bawah pelbagai skim perumahan negeri dengan nilai pembangunan keseluruhan berjumlah RM2.23 bilion.
Ia merangkumi PR1MA Pahang dengan 9,057 unit melibatkan nilai RM1.4 bilion, diikuti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) sebanyak 13,873 unit bernilai RM485 juta.
Seterusnya, Program Residensi Rakyat (PRR) menyumbang sebanyak 4,168 unit dengan nilai RM149.3 juta, Rumah Rakyat Pahang (RRP) sebanyak 1,348 unit bernilai RM99 juta, Rumah Makmur sebanyak 212 unit bernilai RM16.9 juta serta Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) sebanyak 402 unit bernilai RM33 juta.
Berdasarkan penilaian semasa, keseluruhan nilai hartanah bagi projek-projek yang telah siap itu dianggarkan mencecah RM4.9 bilion dengan Return of Value (ROV) RM2.7 bilion, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menanggung kos dan menyediakan subsidi bagi memastikan akses kepada perumahan mampu milik yang inklusif dan berdaya huni kepada rakyat di negeri ini. – MalaysiaGazette
















