Mohammad Aswad Ithnain

BATU PAHAT – Jumlah calon muda daripada UMNO yang akan diberi peluang menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang masih belum diputuskan.

Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, perkara tersebut akan ditentukan pucuk pimpinan dalam mesyuarat parti kelak.

“Sebagai sayap parti kami akan sentiasa mendukung penuh segala keputusan kepimpinan negeri dan buat masa ini fokus kami untuk menyebarluaskan agenda maju johor di setiap Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Johor ketika ini menyokong dan mendukung aspirasi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam mengimbangi kemajuan serta kebajikan rakyat di negeri itu.

Katanya, dalam landskap politik hari ini, terlalu ramai yang memilih untuk berbicara, namun di Johor memilih untuk bekerja.

Jelasnya, di bawah kepimpinan Onn Hafiz, negeri ini berjaya membuktikan bahawa kekuatan ekonomi bukan sekadar angka, tetapi mesti diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat dan bergerak dengan pendekatan yang jelas iaitu menjana hasil, menarik pelabur dan mengembalikan manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

Menurutnya, sebagai contoh dalam sektor pendidikan, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk bantuan one-off kepada bilik guru, bantuan kepada pelajar prauniversiti, serta bantuan tambang pulang ke kampung halaman.

“Penubuhan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) pula membuktikan kesungguhan kerajaan negeri membina masa depan generasi akan datang.

“Penubuhan Pusat Aktiviti Setempat TMIYC di beberapa daerah tumpuan dengan kemudahan riadah moden menunjukkan komitmen serius dalam membangunkan potensi anak muda sebagai aset negeri,” katanya.

Menurut Aswad lagi, penyelarasan Mesyuarat Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap daerah menjadi satu pendekatan baharu yang berani dan berkesan apabila isu-isu legasi ditangani.

Jelasnya, ini dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi dengan Menteri Besar Johor sendiri turun padang mendengar, menilai dan terus menyalurkan peruntukan.

“Ini adalah kepimpinan yang bekerja, bukan sekadar mengarah,” ujarnya.

Bagi melengkapkan lagi usaha yang sedang berjalan, Aswad mencadangkan satu penghargaan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau kariah seluruh negeri.

Kata beliau, penghargaan itu dengan memberikan bantuan tunai sebagai tanda terima kasih kerajaan negeri kepada semua yang terlibat dalam aktiviti semarak Subuh dan Infaq Jumaat bersilih minggu.

Turut dicadangkan katanya, pengiktirafan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai jentera utama di peringkat akar umbi, sokongan lebih tersusun kepada persatuan belia bagi merancakkan aktiviti dalam bidang sukan, sosial dan kebudayaan serta perluasan SRBJ ke daerah lain.

“Ekonomi negeri yang sedang diperkukuh dan rakyatnya terus dibela di bawah kepimpinan hari ini membuktikan Johor benar-benar berada di landasan yang tepat,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast