Foto: UMT

MARANG – Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program Pemindahan Ilmu Pemuliharaan dan Kelestarian Sumber Udang Galah bersama komuniti Kampung Gong Beris di Dataran Batu Putih, di sini, sempena sambutan Hari Lestari UMT 2026.

Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pemuliharaan udang galah sebagai spesies air tawar bernilai tinggi yang menyumbang kepada sumber makanan dan ekonomi setempat.

Inisiatif berkenaan dilihat penting susulan tekanan terhadap populasi udang galah akibat penangkapan berlebihan, pencemaran serta kemerosotan habitat semula jadi.

Seramai 30 peserta menyertai program itu yang memberi pendedahan mengenai amalan pengurusan lestari serta kepentingan pemantauan sumber akuatik secara berterusan.

Program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara FSPA UMT, Jabatan Perikanan Malaysia dan komuniti setempat dalam usaha memelihara kelestarian sumber perikanan darat.

Pro Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMT, Profesor Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor, berkata kelestarian sumber udang galah memerlukan komitmen berterusan semua pihak.

“Usaha seperti ini penting bagi memastikan sumber udang galah terus terpelihara dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan program itu.

Foto: UMT

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Dataran Batu Putih Marang Berhad, Noor Azman Hasan, berkata program seumpama itu memberi impak positif kepada komuniti setempat, khususnya dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran terhadap kepentingan memelihara sumber semula jadi.

“Kami amat mengalu-alukan lebih banyak program seumpama ini kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah membantu memelihara sumber perikanan untuk jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 40,000 anak udang galah dilepaskan ke Sungai Dataran Batu Putih sebagai sebahagian daripada inisiatif meningkatkan populasi semula jadi spesies berkenaan.

FSPA UMT turut membuka peluang kerjasama kepada syarikat korporat dan rakan media untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial (CSR) berasaskan komuniti, termasuk aktiviti pelepasan benih hidupan akuatik, pemuliharaan hidupan laut dan pendidikan kelestarian.

Penganjuran program itu diharap dapat memupuk kesedaran serta tanggungjawab bersama dalam memastikan kelestarian sumber udang galah terus terpelihara.

Turut hadir pada program itu Dekan FSPA, Profesor Dr. Najiah Musa; Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Pang Anak Nyukang; serta Ketua Perikanan Daerah Marang, Maidatul Suhana Muhammad yang juga merupakan alumni Diploma Perikanan FSPA, UMT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast