KUALA LUMPUR – Tular sepucuk surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang menggarahkan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong, di Ampangan, Negeri Sembilan, dikosongkan berkuat kuasa serta-merta.
Surat bertarikh 29 April itu ditujukan kepada Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong susulan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 17 April lalu.
“Sehubungan dengan itu, pihak tuan, diarahkan untuk melaksanakan pengosongan Bangunan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta di samping memastikan semua aset-aset Kerajaan Negeri yang didaftar di premis Balai Undang Luak Sungei Ujong hendaklah berada dalam keadaan baik bagi tujuan pemeriksaan kelak,” kata surat tersebut.
Surat berkenaan ditandatangani Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Akmal Farid Rizal Noordin.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dilaporkan enggan mengulas berhubung perkara itu namun tidak juga menafikan kewujudan surat berkenaan. -MalaysiaGazette
















