KUALA LUMPUR – Jumlah 8,800 ahli baharu di kalangan anak muda yang menyertai UMNO menerusi sistem pendaftaran keahlian dalam talian menunjukkan senario yang agak luar biasa.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengakui tidak pernah melihat semangat anak muda yang hanya ingin menjadi ahli tanpa mengambil kira cawangan dan bahagian yang disertai mereka.
Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, keputusan anak muda itu mungkin disebabkan mereka sudah menilai semua parti yang telah mentadbir negara dan hanya UMNO memiliki rekod prestasi yang baik.
“Saya rasa agak luar biasa sebab saya tidak pernah tengok semangat pemuda hanya hendak jadi ahli. Dia tak kisah sangat cawangan mana, bahagian mana. Dia hanya hendak jadi ahli UMNO.
“Pandangan sayalah, UMNO antara parti yang paling stabil hari ini. Dia (ahli baharu) sudah cuba hampir semua (parti). Lepas itu, saya nampak dia ada perasaan nostalgia. Mungkin mereka remaja pada waktu itu. Sekarang ini sudah umur 18 ke atas, boleh jadi ahli, boleh mengundi.
“Dia fikir daripada semua dia sudah cuba, dari semua parti yang tadbir negara ini, dia rasa UMNO yang paling stabil dan ada track record sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi Meet & Greet Pickleball Pemuda UMNO Malaysia sempena Sambutan 80 Tahun UMNO di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Pada sesi itu, Khairy sempat berganding dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menentang Dr Akmal yang berganding dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ditanya sama ada keputusan beliau kembali kepada UMNO menjadi antara faktor ramai anak muda menyertai parti itu, Khairy menolak pandangan sedemikian.
Sebaliknya jelas beliau, sambutan menggalakan itu adalah usaha sama daripada semua pihak terutamanya daripada sayap Pemuda dan Puteri UMNO.
“Saya rasa dalam kalangan ahli baharu ini yang paling banyak adalah Pemuda UMNO seramai 8,800 ahli. Itu Pemuda UMNO sahaja, tak masuk Puteri UMNO. Jadi kita nampak sejak pendaftaran online ini, ramai yang sudah menunjuk minat,” katanya.
Bulan lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara dalam talian bagi mempermudah kemasukan ahli baharu terutama dalam kalangan anak muda.
Pindaan itu dibuat selepas tinjauan oleh Pemuda dan Puteri UMNO dalam tempoh dua minggu ini di media sosial mendapati kira-kira 2,800 golongan muda berminat menyertai parti itu.
Sehari selepas dibuka, sistem pendaftaran keahlian dalam talian UMNO itu mencatat sambutan menggalakkan apabila seramai 3,716 ahli baharu direkodkan dalam tempoh kurang 24 jam sejak dilancarkan.
Berdasarkan data dikongsikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menunjukkan, golongan pemuda mendominasi pendaftaran dengan 2,413 orang atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan. – MalaysiaGazette

















